Monday 26 May 2014

INGATAN BUAT DIRI.


Syukur kepada Allah kerana kita masih lagi diberikan ruang dan peluang untuk hidup. Masih lagi kita menikmati segala tinta kasih Allah s.w.t kepada kita. MasyaAllah. Lihatlah pada diri kita. Lidah kita masih boleh merasa. Tangan kita masih boleh menyentuh. Mata kita boleh lagi berkelip. Jantung kita masih lagi berdegup. Nikmat mana lagi yang kita hendak dustai?


Hari ini kita masih lagi dibangunkan dengan seribu macam kenikmatan yang masih lagi diperlihara dan dijaga oleh Allah. Saya mengajak untuk kita berkata pada diri usai bangun kita daripada tidur iaitu “hayat yang disambung untuk hari ini bukan untuk digunakan bagi meneruskan dosa kelmarin”. Dengan itu, kita telah aturkan minda, jiwa dan hati kita untuk kurang melakukan perkara yang bercanggah dengan islam.

Pernah bukan kita mendengar manusia ini selalu lupa diri? Ya, mereka lupa dengan mereka tidak cuba mengenali diri. Ini kerana diri kita mengalami perubahan samada kita mahukan atau tidak. Jika hati kita tidak berubah samada kearah kebaikan atau keburukan. Perlu diingat, umur berubah dan mungkin taraf kesihatan juga berubah. Dalaman juga berubah seiring perubahan luaran berlaku. Itu sunnatullah.

Diri Kita Siapa
Entri ini ditulis bukan untuk membincangkan soal siapa kita disisi Allah secara khusus kerana umum kita telah mengetahuinya. Ia ditulis untuk kita sama-sama menerobos jurang paling jauh dalam diri kita. Kita ini selalu menghadapi krisis dalaman. Ia bergantung pada keadaan, masa dan bagaimana ia mempengaruhi hidup kita.

Keadaan ini berlaku  apabila kita gagal mengawal apa yang ada dalam diri kita. Ingat bahawa dalaman penentu luaran. Sehebat manapun kita menyembunyikannya tetap akan terzahir kelakuan kita dalam bentuk tindakan. Jika dulu kita seorang yang ceria diselangi dengan hilai tawa, namun apabila krisis diri menimpa mungkin kita hanya mampu tersenyum. Diam seribu bahasa.

Wahai pembaca, tak kenal maka tak cinta. Jika sudah kenal, berkenalan lah berkali-kali. Betul, proses berkenalan bukan suatu yang terhenti. Ia perlu diteruskan kerana umum manusia dipengaruhi oleh perubahan sisi kehidupan yang berbeza. Kenali perubahan yang berlaku memikirkan cara-cara dalam menangani sesuatu perkara.

Muhasabah tentang siapa kita.
Tanyakan pada diri kita apa yang kita mahu dalam hidup.
Apa tujuan kita hidup.
Apa tanggungjawab yang kita pikul.
Biarpun beratus malah beribu. Hadapinya dengan tabah.
Selalulah memujuk kita dengan bisikan kata dan tekad perbuatan.
Ia perlu. Sentiasa.
  
Pujuklah Diri Kita 

1. Kawal Perasaanmu Wahai Diri
Kita ini manusia selalu mengikut perasaan. Oleh itu wahai diri, jangan terlalu melayani perasaan kelak dirimu merana. Didik dan asuhlah ia agar sentiasa mengingat Allah, tuhan rabbul Izzati. Selalu kekalkan zikirmu padanya nescaya apa yang terucap dimulut dengan ribuan lafaz akan terlekat pada jiwamu. Jika tidak berjaya juga, ia bererti dirimu telah meletakkan sesuatu yang lain sebagai ingatan. Bukan tidak boleh cuma jaga, supaya jangan terlebih. Jika tidak wahai diri, ia akan menjejaskan kesihatan dirimu sendiri.

 

Ia punca hatimu tidak khusyuk mengingatiNya dengan tulus ikhlas. Wahai diri, cubalah dan terus mencuba. Sesungguhnya penyakit yang lebih bahaya daripada perasan ialah perasaan. Perasan hanya sekejap, kononnya “akulah yang paling pandai”. Tapi perasaan akan terbawa-bawa tak kunjung habis. Kawal ia dengan sedaya mungkin. Katakan pada diri “Aku boleh, InsyaAllah.”

2. Jangan Ikut Telunjuk Syaitan
Syaitan dicipta dan ditempatkan disyurga dan setelah melanggar perintah Allah untuk sujud pada Adam, ia dihalau keluar dari syurga. Syaitan berazam untuk menyesatkanmu wahai diri. Ia musuhmu yang nyata sepertimana kalam tuhanmu. Oleh itu wahai diri, awasi gerak gerimu kerana sabda rasulmu mereka ada dalam saluran darahmu. Sungguh dekat. Ingatkan dirimu bahawa mereka selalu membisikkanmu kata-kata jahat yang menyesatkan kamu.

Mereka tidak henti-henti menghasutmu kerana itu tugas mereka. Apa tugasmu wahai diri? Tugasmu tidak lain ialah menepis segala hasutan jahat mereka. Teguhkan amalanmu, bulatkan imanmu. Semua itu pesanan untukmu wahai diri agar dirimu tidak termasuk dalam kalangan mereka yang dihumban ke neraka. Nauzubillah.

3. Hiduplah Untuk Manusia Lain
Wahai diri yang selalu berehat dan bersenang lenang. Adakah kamu sendirian didalam dunia ini? Jawab wahai diri, jawab. Tentu sekali tidak. Masakan kamu dicipta hanya untuk dirimu sahaja. Lihat betapa ramai orang yang tidak bernasib baik sepertimu. Makan meraka tidak sesedapmu, tidur mereka tidak selenamu, pakaian mereka tidak seindahmu.


Wahai diri, bekerjalah bukan hanya untukmu tetapi juga untuk mereka. Dalam rezekimu ada rezeki mereka. Bukankah Allah itu bersifat dengan Al-Wahhab (Maha Pemberi)? Bukankah tuhanmu menyuruh berbuat baik kepada mereka yang berada dibawahmu?. Oleh itu wahai diri, hiasilah dirimu dengan kalungan kemurahan hati, seindah Nabi Muhammad s.a.w yang pemurahnya seperti angin lalu.

4. Jangan Cepat Menilai
Wahai diri, kenapa engkau selalu berprasangka buruk. Mengapa?. Hanya dengan sekali imbas engkau meletakkan nilaian yang tidak berasas. Jika dilihat orang itu tidak bertudung dengan pantas hatimu berkata “Ini bukan muslimah sejati”. Jika dilihat orang membentakkmu lantas kamu berkata, “ahh, dia berniat jahat”. Kenapa begitu? Hanya setakat itu sajakah ilmu yang tinggi kamu gunakan? Untuk menghukum dan terus menghukum.

Muhasabah kembali atas nilaian apa yang kamu lihat. Tidakkah kamu memberikan nilai rahmat Allah yang maha pengampun. Tidakkah terdetik dihatimu bagaimana caramu untuk membantunya. Oleh itu wahai diri, lihat kembali jauh disudut hatimu. Fikirkan cara untuk menolong mereka bukan untuk membentak membuta tuli. Sesungguhnya usahamu jadi penentu bukan sahaja hasilnya.

5. Jangan Selalu Berprasangka
Sesungguhnya prasangka itu membunuh jiwamu. Memutuskan usahamu. Mengurangkan pahalamu. Sesungguhnya prasangka adalah salah satu bisikan syaitan kearah pendengaranmu. Oleh itu wahai diri, biaskanlah dirimu mendengar perkataan yang baik-baik. Kalimah tayyibah dan kalamullah biarkan ia sentiasa meniti digegendang telingamu.

Supaya dengannya dirimu akan memikirkan kebesaran ciptaan Allah. Membesarkan kerajaan miliknya yang tiada tara. Menjemput kedatangan sikap positif yang sentiasa akan menjadi penawar kepada racun prasangka dirimu. Fikirkan yang baik-baik. Lihat saja lebah, fikirannya selalu kearah madu debungan hingga terhasil melalui tindakan.

6. Jangan terlalu mencinta
Perasaanmu wahai diri, sungguh indah. Allah kurniakan berbagai perasaan dalam satu hati. Kamu mencintai segala yang kamu hendak. Wanita, harta, anak, pangkat, kedudukan dan berbagai lagi. Ingat wahai diri, perkara yang kamu cintai itu akan menjadi ujian buat kamu. Bersedialah menghadapi onak dan duri di alam ujian percintaan.

Kata-katamu akan diuji, jiwamu, jasadmu, emosimu, fikiranmu. Oleh itu wahai hati, cintailah yang mencintaimu iaitu Allah yang menciptakanmu. Kerana jika kecintaanmu pada teguh padanya, dirimu akan bisa menghadapi ujian-ujian cinta yang lain. Dirimu lemah, perlukan Allah sepertimana jasadmu perlukan udara. Percayalah, malah lebih daripada itu.

7. Cari Masa Bersama Allah Biarpun Kesibukan
Mungkin anjuran ini wahai diri agak dangkal dengan ilmumu. Sepatutnya Allah mesti ada dalam hati bukan? Tapi kenapa disuruh mencari masa bersama Allah sedangkan menyembah Allah itu wajib dan perlu sentiasa ada masa?. Sebenarnya wahai diri, engkau selalu melupakan tuhanmu. Yang menciptamu daripada tiada kepada ada. Namun, hambatan dunia menyebabkan engkau terlalu sibuk. Hingga menyembah tuhan tika solatmu saja sudah dianggap tanggungjawab bukan tanda kecintaan untuk mendapat redha.


Oleh itu wahai diri, perbetulkan konsepmu. Bukan lagi, kata-kata “Dunia pun dunia juga, akhirat jangan lupa” tetapi lebih kepada “Akhirat pun akhirat juga, dunia jangan lupa” kerana inilah auwlawiyyat yang Al-Quran ajarkan. Cuma dunia ini jangan terlalu.

Pesanku kepadamu wahai diri, beribu. Agar engkau bisa meneruskan hidup ini dengan semangat yang utuh, iltizam yang tak padam serta tekad yang berterusan. Agar apa yang dicitakan oleh setiap diri untuk mendapat redha Allah itu akan menjadi matlamat jalan ceritamu. Ingat pesanku wahai diri. Ingat.

Part 3: Cambodia (Phnom Penh)

Salam 1 Malaysia. Oke berhabuk sudah blogku ini setelah berzaman tidak update. Kini ku berasa mahu menulis semule memandangkan ku suke m...